SHAH ALAM – Seramai empat individu termasuk dua wanita disyaki terlibat dengan sindiket pencetakan dan penjualan sijil cuti sakit palsu ditahan secara berasingan di daerah ini pada Isnin dan Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 35 tahun ditahan pada jam 10.30 malam hingga 1.30 pagi.
"Kesemua suspek didapati bertindak sebagai ejen serta mencetak dan menjual sijil cuti sakit palsu berkenaan.
"Kita turut merampas 62 keping sijil cuti sakit palsu, sebuah set komputer dan mesin cetak di sebuah rumah di Seksyen 17 di sini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua keping kad mesin pengeluaran automatik bank, dua keping kertas putih bertulis jumlah pembayaran pelanggan dan sebungkus kertas A4 turut dirampas.
"Modus operandi sindiket adalah pembeli perlu memberikan butiran diri dan tarikh untuk cuti sakit serta dari klinik mana yang diperlukan.
"Bayaran RM40 bagi sekeping sijil cuti sakit palsu dimasukkan ke dalam akaun sindiket, runner atau ejen akan menghantarnya kepada pembeli," katanya.
Menurutnya, sindiket didapati telah menjalankan aktiviti mereka sejak awal tahun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pertama dilaksanakan.
"Hasil semakan mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek direman selama empat hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun," katanya.
Azman turut menyarankan agar mana mana pihak sama ada hospital kerajaan, swasta atau syarikat yang pernah menerima sijil cuti sakit palsu tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.