JOHOR BAHRU - Mesyuarat Khas Berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 diadakan pagi ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini.
Mesyuarat khas PRN Johor itu antara lain bagi membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani pilihan raya berkenaan.
Sebelumnya, Abdul Ghani dilihat tiba di Persada pada jam 9.40 pagi.
Turut menyertai mesyuarat itu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaiman.
Sidang media berhubung mesyuarat terbabit dijangka diadakan pada jam 12.30 tengah hari selepas SPR selesai mengadakan mesyuarat.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.
Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.