KUALA SELANGOR – Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu menyusup masuk ke Malaysia akan dikenakan bayaran RM1,800 setiap seorang kepada ejen sindiket penyeludupan migran.
Itu ‘syarat’ utama sindiket yang dibongkar Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas di perairan Tanjung Karang, di sini pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang kira-kira jam 6 pagi itu berjaya menahan 44 migran warga Indonesia terdiri daripada 39 lelaki dan lima wanita.
Menurutnya, turut ditahan adalah seorang tekong laut dan tiga pembantu tekong warga Indonesia berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun.
"Kesemua warga Indonesia terbabit ditahan hasil maklumat dan risikan D3 bersama PPM Wilayah 1 Pelabuhan Klang sebelum berjaya mengesan cubaan sebuah bot pom-pom yang dipercayai datang dari Tanjung Balai, Indonesia menuju ke Kuala Selangor.
"Pemeriksaan mendapati terdapat elemen penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan (jalan laut),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, siasatan juga mendapati suspek tekong laut berperanan membawa masuk dan keluar migran dari Malaysia dengan dibantu tiga pembantu tekong.
Katanya, soal siasat awal terhadap migran, mereka dikenakan bayaran 6 juta rupiah (RM1,800) untuk masuk ke Malaysia dan jumlah itu dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia.
"Polis telah merampas bot pom-pom terbabit selain tiga unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.