SHAH ALAM - Bekas Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Selasa.
Johary, 44, mengisi jawatan ditinggalkan Noraini Roslan yang dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Johary dalam perutusannya memaklumkan, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu dalam memacu MBSJ supaya terus cemerlang, gemilang dan berdaya saing.
"Komitmen transformasi pembangunan bandar mampan terus disepadukan dengan elemen sosial, ekonomi, rohani dan alam sekitar kekal sebagai dimensi utama," katanya dalam satu kenyataan.
Johary berkata, MBSJ yang mempunyai keluasan 161.8 kilometer persegi dengan populasi seramai 968,930 penduduk berpegang kepada enam ciri bandar utama 'smart vibrant’ sebagai penjenamaan bandar.
"Ini bermaksud Bandaraya Subang Jaya sebagai bandar raya yang hidup (lively), bersemangat (high spirit), bertenaga (energetic), mesra (friendly), hijau (green) dan pintar (smart)," ujarnya.
Jelasnya, antara cabaran beliau adalah bagi meningkatkan hasil MBSJ yang mengalami penurunan kutipan hasil pada tahun lalu.
"Saya dimaklumkan hasil bagi tahun lalu sebanyak RM259 juta dan terdapat penyusutan di dalam kutipan hasil sebanyak RM14 juta berbanding tahun 2020 (RM273 juta).
"Justeru dengan harapan dan aspirasi baharu, Insya-ALLAH kita semua akan bersama-sama menggembling idea dan tenaga untuk mengembalikan semula keyakinan kepada pemegang taruh serta masyarakat di dalam kawasan pentadbiran MBSJ," kata beliau.
Katanya, MBSJ berada di landasan tepat apabila meletakkan visi menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf antarabangsa berteraskan bandar raya sejahtera yang mampan dan bestari.
"Amanah digalas di bahu saya, sudah pasti misi seterusnya adalah mengekalkan momentum kecemerlangan sedia ada dan melakukan penambah baikan secara berterusan terhadap mutu penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi ekspektasi warga MBSJ.
"Pengukuhan daya tahan bandar akan menjadi agenda utama MBSJ bagi menangani cabaran pandemik dan perubahan iklim dalam memastikan warga MBSJ dapat menjalani kehidupan sejahtera," jelasnya.