JOHOR BAHRU - Seramai 2,597,742 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu melibatkan 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.
"Daripada jumlah keseluruhan yang layak mengundi itu juga terdapat seramai 43,149 pengundi orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut akan mengundi," katanya.
Jelasnya, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih mulai 21 Februari ini bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.
"Semakan boleh dilakukan menerusi laman portal SPR di pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak," katanya.
Sebelum itu, SPR menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.