Awan kumulonimbus bawa ribut petir ke Pulau Pinang: MetMalaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian ribut di Pulau Pinang pada Selasa.

GEORGETOWN - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang memaklumkan kejadian angin kencang yang berlaku di negeri itu pada Selasa berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil.

MetMalaysia Pulau Pinang dalam kenyataan pada Rabu berkata, keadaan itu boleh berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan pihaknya akan sentiasa memantau serta mengemas kini amaran cuaca dari masa ke masa.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia Pulau Pinang, Stesen Meteorologi Butterworth telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4 milimeter (mm) pada jam 6 petang semalam, manakala Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Perai, merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4 mm.

"Stesen Meteorologi Bayan Lepas pula merekodkan jumlah hujan sebanyak 4.8mm juga bagi tempoh sama dan pihak kami akan terus memantau serta mengemas kini amaran cuaca supaya tindakan segera dapat diambil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang pada kira-kira 5 petang Selasa, banyak pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kelajuan angin yang direkodkan sewaktu kejadian ribut semalam adalah sekitar 68 kilometer sejam.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan maklumat diterima pihaknya mendapati 25 lokasi di Pulau Pinang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang dan dua lokasi merekodkan kejadian struktur bumbung diterbangkan angin.

Iklan

"Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dengan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan hari ini mereka meneruskan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang yang dijangka dapat diselesaikan," katanya ketika sidang akhbar pada Rabu. - Bernama