SHAH ALAM - Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dilaksanakan bagi memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), akta itu juga bagi mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa untuk keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan tertentu dan perkara berkaitan.
Pada masa sama, menurut MOSTI, kerajaan juga dapat meratifikasi triti angkasa dan melaksanakan obligasi di bawah kerangka undang-undang antarabangsa yang memangkin negara berperanan dalam penyelidikan, pembangunan dan industri angkasa ke arah 'New Space Economy'.
Katanya, akta ini selaras dengan Teras 1 Dasar Angkasa Negara 2030 melalui pelaksananya iaitu Agensi Angkasa Malaysia dan segala aspek diambil kira termasuk keselamatan yang menjadi tumpuan utama dalam pelaksanaannya.
"Perlindungan ini dilaksanakan melalui pemindahan liabiliti dan tanggungjawab berkaitan kepada pemilik sebenar objek angkasa. Aspek keselamatan yang merangkumi keterjaminan terhadap keupayaan objek angkasa dari segi reka bentuk, aktiviti pelancaran dan keupayaan beroperasi dengan selamat di angkasa merupakan tumpuan utama dalam pelaksanaan akta ini,” kata kenyataan pada Rabu.
Tambah MOSTI, akta itu juga akan mengawal selia ruang angkasa yang boleh ditakrifkan sebagai ruang yang bermula daripada ketinggian 100 kilometer (km) dari aras laut sehinggalah ke infiniti.
"Ini berbeza dengan ruang udara iaitu ruang di bawah ketinggian 100 km dari aras laut yang digunakan bagi tujuan penerbangan oleh sektor aeroangkasa yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3),” ujarnya.
Bagi mengawal selia aktiviti angkasa, kata MOSTI, empat kaedah ditetapkan iaitu lesen untuk mengawal aspek keselamatan bagi aktiviti berkaitan angkasa tertentu dan permit pelancaran bagi penyedia perkhidmatan dalam Malaysia yang menjalankan aktiviti pelancaran.
Selain itu, perakuan pelancaran bagi pemilik objek angkasa yang melancarkan objek angkasa dari fasiliti pelancaran di dalam dan di luar Malaysia serta pendaftaran objek angkasa yang telah berjaya dilancarkan dan beroperasi di orbit.
Jelas MOSTI, Akta 834 tersebut dapat memperkasakan industri huluan (upstream) secara holistik untuk memastikan kesinambungan pembekalan data satelit dan maklumat yang berkaitan.
"Usaha ini juga penting untuk menjadikan negara tidak hanya berperanan sebagai pengguna teknologi tetapi juga memainkan peranan selaku pembangun teknologi dalam sektor angkasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelbagai program dan inisiatif telah dirangka dan sedang dilaksanakan oleh untuk membangunkan sektor angkasa negara secara lebih terancang dan sistematik antaranya Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030).
Jelasnya, ia bagi melaksanakan Dasar Angkasa Negara 2030 yang merangkumi pembangunan keseluruhan rantaian ekosistem sektor angkasa di negara ini.
Kata kenyataan itu lagi, akta tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat melalui penguatkuasaan peruntukan-peruntukan yang merangkumi penubuhan pasukan teras Penguasa Angkasa dan Lembaga Angkasa Malaysia terlebih dahulu.
"Dijangka akan dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini. Manakala, penguatkuasaan peruntukan lain yang terkandung di dalam akta ini adalah selepas selesai penggubalan peraturan-peraturan yang diperlukan bagi penguatkuasaan sepenuhnya,” katanya.