IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesan penyebaran ajaran meragukan oleh pihak tertentu di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ajaran meragukan itu berselindung atas faktor ekonomi bagi mengembangkan pengaruh.
Kata beliau, ajaran tersebut timbul dengan mengambil kesempatan dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara dan keadaan rakyat terhimpit masalah ekonomi.
"Kita akui ada juga orang ini digelar ustaz padahal bukan ustaz berdasarkan latar belakangnya. Dalam situasi pandemik yang timbul ini, muncul benda tak elok dan dibangkitkan isu Imam Mahdi dan sebagainya. Timbullah segelintir yang nak mencari pengaruh kadang-kadang menggunakan faktor ekonomi dalam keadaan masyarakat kita mungkin menghadapi tekanan ekonomi dan ada pihak tertentu menggunakan agama untuk menarik minat masyarakat.
"Di dalam YouTube ada macam-macam cerita ajaran meragukan. Ada ajaran yang berselindung di sebalik benda lain. Jadi saya minta masyarakat di Perak ini lihat siapa orang itu dan latar belakangnya. Semak dulu kelompok ini yang nak menyebarluaskan ajaran yang tidak menyenangkan terutama dikaitkan dengan Imam Mahdi, takut kita terseleweng," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penarafan Masjid Sebagai Pusat Informasi Maya di Dewan As-Syafie, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), di sini pada Rabu.
Mohd Yusop berkata, orang ramai dinasihatkan merujuk kepada pihak berautoriti seperti JAIPk untuk memastikan kesahihan atau tauliah individu mahupun kumpulan tertentu.
Sementara itu, beliau mengingatkan masjid dan surau di Perak mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Agama Daerah masing-masing sebelum menjemput penceramah.
Menurutnya, sebarang permohonan untuk menjemput penceramah luar perlu dikemukakan kepada Pejabat Agama Daerah berserta latar belakang individu tersebut.
Tambahnya, sebarang permohonan untuk menjemput penceramah tertentu perlu dibuat dalam tempoh 15 hari sebelum program berlangsung.
Dalam pada itu Mohd Yusop meminta pihak pengurusan masjid tidak menyiarkan sebarang rakaman video individu atau tokoh sama ada di dalam mahupun luar negara yang menyebarkan ajaran meragukan dan menyimpang dari ajaran Islam.
Pada 21 Januari lalu, Polis Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan polis terhadap perkongsian seorang lelaki menerusi Facebook Live di sebuah kedai di Sayong Lembah di sini yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, siaran langsung berdurasi 8 minit 56 saat itu dilakukan ketika individu berkenaan mengunjungi sebuah kedai yang menjual pelbagai senjata antaranya pedang dan keris.