PENGENDALI Everton, Frank Lampard mengakui kurang keyakinan dalam kalangan pemain The Toffees menjadi punca kekalahan 1-3 semasa berkunjung ke St Jame's Park menentang Newcastle United.
Malah menurut Lampard, beliau melihat itu antara elemen yang perlu diperbaiki selepas mengharungi dua perlawanan bersama kelab Merseyside tersebut.
"Keyakinan dan kepercayaan itu perlu dibina serta diusahakan di tempat latihan. Kami berada di sini dalam masa yang singkat dan ia perlu berubah dengan cepat kerana kelab ini mahu mendapatkan keputusan.
"Keputusan yang dihasilkan dalam perlawanan ini sudah menjelaskan situasi sebenarnya keadaan kelab. Sudah tentu tahap keyakinan para pemain adalah rendah, kekalahan ini menampar muka anda.
"Apabila saya datang ke kelab itu, keputusannya agak teruk, namun sejujurnya tidak ada tongkat ajaib untuk membetulkannya. Ini adalah Liga Perdana Inggeris, berintensiti tinggi,” ujar Lampard.
Jelas Lampard lagi, kekalahan ke-12 liga itu merupakan satu tamparan kepada kelab bahawa para pemain perlu berusaha lebih keras selepas ini.
"Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan ialah bekerja keras dan melihat ke hadapan. Tugas saya adalah untuk membangunkan para pemain untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Anak buah Lampard gagal meneruskan momentum positif ketika menjinakkan Brentford 4-1 dalam aksi Piala FA apabila akur kebangkitan The Magpies pada babak kedua.
Biarpun Everton mendahului Newcastle United menerusi jaringan sendiri pemain tuan rumah, Jamaal Lascelles pada minit ke-36, The Magpies kembali bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain The Toffees, Mason Holgate pada minit ke-37.
Anak buah Eddie Howe kembali bersemangat pada babak kedua apabila menambah dua lagi gol menerusi Ryan Fraser minit ke-56, sebelum Kieran Trippier melengkapkan kemenangan ketiga liga tuan rumah selepas mengharungi 22 perlawanan.