SHAH ALAM - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengiklankan untuk menjual aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Menerusi satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu, bangunan setinggi 55 tingkat itu dengan keluasan 989,200 kaki persegi itu bagaimanapun tidak mendedahkan harga jualan.
Iklan
Iklan
Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.
Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.
Bangunan siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.
Menara itu yang dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) terletak di lokasi strategik berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.
WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.