Sebak terima skrol diploma suami

Iklan
Maisharah (kanan) menerima skrol diploma arwah suaminya ketika Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau (PMM) ke-19 di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka (PMM) pada Rabu.

JASIN -Seorang wanita sebak sebaik menerima diploma arwah suaminya ketika Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau (PMM) ke-19 di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di sini, pada Rabu.

Maisharah Omar, 36, mengambil skrol Diploma Kejuruteraan Elektrik Allahyarham suaminya, Azhar Rahman, 39, pada sidang kelapan konvokesyen yang disampaikan oleh Pengarah Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah.

Iklan
Iklan

Maisharah berkata, suaminya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di negeri ini meninggal dunia akibat kanser lipoma tahap tiga pada 22 September 2020.

Menurutnya, semuanya bermula apabila arwah terjatuh ketika majlis berkhatan anak kedua mereka menyebabkan arwah merasa tidak sihat dan terus membuat pemeriksaan kesihatan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, kami terkejut kerana dikhabarkan arwah mengidap kanser tahap tiga.

"Selepas itu, arwah sentiasa berulang-alik ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan susulan sehinggalah pada 22 September 2020 arwah meninggal di Hospital Melaka,” katanya.

Iklan

Tambahnya, arwah suami bersungguh-sungguh untuk menyambung pengajian di peringkat diploma kerana ditawarkan kenaikan pangkat oleh majikan sebagai juruteknik sekiranya memperoleh diploma.

"Tapi apakan daya, arwah pergi dahulu.

"Walaupun sedih suami tidak dapat mengambil sendiri skrol ini tetapi saya bangga kerana arwah berjaya menamatkan diploma yang merupakan impiannya,” katanya.

Hasil perkahwinan Maisharah dan arwah, mereka dikurniakan empat orang anak.

Pada majlis konvokesyen kali ke-19 itu, seramai 2,936 graduan PMM diraikan bermula 6 Februari sehingga 10 Februari ini.