SEREMBAN - Negeri Sembilan membenarkan operasi bazar Ramadan tahun ini dengan mengekalkan peraturan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, bazar itu akan dibuka di setiap daerah dengan SOP dan senarai sama seperti tahun lalu.
"Bagaimanapun, jumlah lot yang disediakan akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing yang mana ketika ini mereka (PBT) sedang membuat persiapan bagi pelaksanaan bazar Ramadan.
"Ia termasuk melantik penganjur di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kita tiada halangan untuk meneruskan operasi bazar Ramadan tahun ini," katanya selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan bazar Ramadan supaya tidak menaikkan harga jualan agar pengguna tidak terbeban tambahan ketika ini masing-masing berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian.
"Saya berharap harga yang dijual peniaga nanti tidak membebankan pengguna kerana ia boleh memberi kesan kepada operasi bazar Ramadan itu sendiri," katanya.
Sementara itu, dalam pekembangan berlainan, Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan juga komited untuk memastikan setiap anak negeri ini mampu memiliki rumah idaman mereka sendiri.
"Kita memperuntukan RM5 juta bagi meneruskan program pembinaan Rumah Harapan untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 memiliki rumah sendiri, tahun ini.
"Sebanyak 65 unit rumah berharga RM78,000 sebuah akan dibina dan permohonan akan dibuka pada 15 Februari ini.
"Mereka yang layak memohon projek perumahan ini adalah kalangan anak Negeri Sembilan yang memiliki tanah sendiri atau kebenaran daripada kedua ibu bapa, tanah tidak dicagarkan kepada mana-mana pihak dan tanah berkenaan juga perlu sesuai untuk pembinaan," katanya.
Jelasnya, tahun lalu pihaknya sudah meluluskan pembinaan sebanyak 70 unit rumah yang kini dalam pembinaan dan dalam lingkungan antara lapan ke 15 peratus, siap.