KAJANG - [DIKEMASKINI] Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) merancang untuk menjadikan institusi tersebut sebagai 'reference centre' (pusat rujukan) pada masa depan.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Profesor Dr Wong Shaw Voon berkata, perancangan tersebut bertujuan bagi memberi khidmat nasihat, informasi serta rujukan berhubung isu-isu melibatkan keselamatan jalan raya.
Ujar beliau, usaha itu bertepatan memandangkan Miros telah dilantik sebagai Asean Road Safety Centre (ARSC).
"Paling penting, ada beberapa peluang yang Miros boleh ambil untuk menjadi 'reference centre'. Memberi khidmat nasihat dan pakar rujuk dari segi keselamatan jalan raya.
"Sudah tentu seperti yang diiktirafkan, kami bukan sahaja ingin menjadi pusat rujukan di Malaysia sahaja tetapi juga untuk negara Asean," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah Miros yang berlangsung di Dewan Miros pada Rabu.
Turut hadir, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Datuk Suret Singh dan Ketua Pegawai Miros, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim.
Dalam pada itu, menurut Shaw Voon, usaha untuk mengurangkan kadar kematian di jalan raya masih lagi belum selesai meskipun kadar kematian menunjukkan penurunan di negara ini.
Jelasnya, Miros boleh lakukan dengan lebih baik dan akan meneruskan usaha meningkatkan aspek keselamatan jalan raya bagi pemandu.
"Sebenarnya Malaysia, kami sudah banyak berusaha dan mendatangkan hasil, kami nampak ada mutu penurunan dari segi kematian tetapi itu masih belum mencukupi kerana setiap nyawa yang hilang di jalan raya ini adalah kehilangan yang kita semua boleh halang.
"Maksudnya usaha itu masih belum selesai lagi dan semua pihak termasuk media saya harap bersama-sama boleh mengurangkan (kematian di jalan raya)," katanya.