IPOH - Kerajaan Perak menggesa supaya prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan di sempadan negara bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 meningkat selepas kebenaran membuka pintu negara pada 1 Mac depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak bersempadan dengan Thailand di kawasan Pengkalan Hulu dan sudah pasti kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan tersebut.
Menurutnya, pembukaan sepenuhnya sempadan negara merupakan langkah baik untuk memulihkan semula ekonomi negeri dan negara tetapi pada masa sama mendatangkan risiko penularan jangkitan dari negara jiran.
"Hari ini saya tengok tadi 17,000 kes (positif Covid-19) sedang berlaku, kita tak tahu daripada Thailand ini berapa banyak pula. Jadi kalau di sana lebih banyak daripada kita, bermakna kalau pun nak ada buka sempadan, SOP kena sangat ketat, kena betul-betul dipatuhi kalau tidak nanti yang akan menjadi mangsa ialah rakyat Malaysia khususnya orang Perak.
"Pembukaan semula sempadan ada pro dan kontra. Kita nak kembali pulihkan ekonomi antara sebabnya banyak kedai tomyam tutup tapi kita nak mereka bawa tomyam, bukan bawa sekali Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Ipoh Walkable City di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada Selasa mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, pembukaan sempadan tidak terhad kepada negara tertentu, sebaliknya terbuka untuk semua negara dan langkah itu dijangka memacu semula pemulihan ekonomi negara.