KUBANG PASU - Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Pusaka Kuds Sdn Bhd (MyPusaka) menjadi titik permulaan untuk dakwah menyebar ilmu berkaitan pusaka kepada masyarakat.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, dengan kepakaran dimiliki kedua-dua pihak, beliau yakin UUM dan MyPusaka dapat memanfaatkan kerjasama itu serta meneroka peluang baru dalam aspek pusaka.
Katanya, memorandum menerusi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) itu akan fokus bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, malah penerbitan penulisan.
"Ini bermaksud hasil kajian kelak akan membantu umat Islam khususnya, untuk menguruskan harta pusaka dengan lebih sistematik dan adil, yakni berada di kedudukan lebih baik.
"Saya juga yakin MyPusaka akan membangunkan bahan-bahan penulisan dalam konteks buku untuk mendidik orang ramai berkaitan pusaka," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurutnya, kerjasama ini menjadi satu platform dakwah kepada kedua-dua pihak untuk menunjukkan betapa sistematik, adil dan tersusunnya Islam itu dalam pengurusan pusaka.
"Saya juga yakin ilmu dimiliki UUM dan MyPusaka memperkukuhkan agenda yang terdapat dalam MoU ini demi kebaikan ummah," katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyPusaka, Kamarul Azman Mustapha Kamal berkata, beliau teruja kerana MyPusaka berpeluang menjalinkan kerjasama strategik dengan UUM.
"Pemeteraian itu bukan sahaja menjadi satu titik permulaan tetapi perjalanan yang akan membawa kepada satu hasil memanfaatkan MyPusaka dan UUM serta masyarakat," katanya.
Menurutnya, masalah pusaka merupakan masalah masyarakat terutama umat Islam yang masih kurang pendedahan terhadap pengurusan harta pusaka.
"Bagi memberi pendedahan ini, MyPusaka menganjurkan ceramah di seluruh negara dan hasilnya, banyak kes-kes pusaka dapat diselesaikan. Apa yang penting adalah membuat perancangan.
"Kita mahu bangunkan insan-insan yang kaya tetapi beriman, budiman dan dermawan. Saya percaya MyPusaka memberi kerjasama untuk mencapai sesuatu yang baik, seterusnya dapat memperkukuhkan ekonomi negara dan umat Islam," katanya.