Sabah catat tiga lagi kluster pendidikan

Iklan
Masidi

KOTA KINABALU - Tiga lagi kluster pendidikan direkodkan di Sabah pada Rabu iaitu di Beluran, Keningau dan Kinabatangan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, Kluster Access Menawo di Keningau melibatkan pelajar perempuan di asrama Institut Pelajaran dan Dakwah Islam Sabah (IPDAS) Keningau.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes indeks yang berusia 21 tahun mula bergejala pada 6 Februari sebelum didapati positif pada hari sama dan saringan terhadap kontak rapat di asrama itu mendapati 11 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 12 orang.

"Di Beluran, Kluster Simpangan Paitan dikesan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan Paitan apabila kes indeks seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama mula mengalami simptom selesema, batuk dan sakit tekak sejak 4 Februari lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut Masidi, pelajar itu kemudian menjalani ujian saringan pada 6 Februari sebelum didapati positif dan saringan terhadap kontak rapat di asrama itu mendapati 22 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 23 orang.

Kluster Bukit Garam di Kinabatangan pula melibatkan pelajar perempuan berusia 18 tahun di SMK Bukit Garam yang mula mengalami simptom pada 28 Januari lalu dan menjalani ujian saringan RTK-Ag di Hospital Kinabatangan pada 6 Februari.

Iklan

Masidi berkata, saringan ke atas kontak rapat seterusnya mendapati seramai 46 orang dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah didapati positif.

Beliau berkata, ketiga-tiga pesakit dalam kluster berkenaan dikategorikan tahap satu dan dua serta telah diasingkan untuk diberi rawatan yang sesuai.

Dalam pada itu, jumlah kes Covid-19 baharu di Sabah pada Rabu merekodkan 3,333 kes menjadikan jumlah kumulatif 259,932 kes dengan dua kes kematian masing-masing di Papar dan Tuaran. - Bernama