Presiden PSM: Zuraidin beri laluan kepada Sumali

Iklan
Laporan Sukan Sinar Selasa lalu. (Zuraidin)

PRESIDEN Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah menarik diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), pada Sabtu ini.

Menurut Zuraidin, beliau juga mengambil keputusan untuk tidak bertanding bagi mengisi jawatan-jawatan lain pada mesyuarat badan induk sepak takraw negara tersebut.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini adalah bagi memberi laluan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP), Datuk Mohd Sumali Reduan untuk menerajui PSM.

"Saya percaya dengan kewibawaan dan pengalaman beliau, persatuan induk sepak takraw negara akan dapat ditadbir dengan baik.

Iklan

"Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semua perkara serta pandangan," ujarnya pada Khamis.

Pada masa sama, Zuraidin memberi jaminan badan induk sepak takraw negeri Kelantan itu memutuskan untuk menyokong PSM bagi menangani segala isu sehingga badan induk sepak takraw negara itu supaya dapat diterima semula oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Iklan

"Dengan keputusan ini juga saya akan memberi tumpuan lebih kepada GASTAK serta pembangunan sepak takraw di Kelantan," katanya.

Untuk rekod, pemilihan kepimpinan baharu PSM yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, Zuraidin dan Sumali dua nama dicalonkan untuk perebutan jawatan presiden.

Selain itu, Zuraidin dan Mohd Sumali juga turut menerima pencalonan jawatan timbalan presiden selain Persatuan Sepak Takraw negeri Johor (PSNJ), Datuk Abdul Halim Suleiman dan Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara untuk jawatan naib presiden pula menyaksikan pencalonan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP), Datuk Abu Jimi Samat; Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA), Datuk Awang Sham Amit selain pencalonan Abdul Halim dan Abdul Puhat.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh sebelum ini memaklumkan kesemua calon tersebut perlu menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan masing-masing kepada jawatankuasa pencalonan bagi pengesahan selewat-lewatnya sebelum jam 12 tengah hari Khamis.