PUTRAJAYA - Kementerian Luar sedang mengusahakan kelulusan untuk membawa pulang jasad dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia semalam.
Timbalan Menterinya Datuk Marzuki Yahya berkata jasad dua wanita berkenaan iaitu Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah masih berada di sebuah hospital di Lombok.
Iklan
Iklan
"Jenazah dijangka diterbangkan terus dari Lombok ke Kuala Lumpur dan tidak melalui Jakarta,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran baju dan lagu rasmi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) di Wisma Putra, di sini hari ini.
Baju dan lagu rasmi Perwakilan itu dilancarkan oleh isteri Menteri Luar Datin Norlin Shamsul Bahri yang juga Penaung Perwakilan.
Selain dua yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, Wisma Putra hari ini turut mengesahkan tujuh mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Lombok manakala 13 lagi terselamat.
Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang semalam. - Bernama
Artikel Berkaitan