Halang tonto, PGA lepas dua das tembakan

Iklan
Mannadzar menunjukkan gambar tonto dan PATI yang ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Tanah Merah pada Rabu.

RANTAU PANJANG - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dipercayai tonto yang menghalang mereka menahan sebuah bas persiaran yang membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Iklan
Iklan

Bas yang membawa warga Myanmar itu ditahan di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah pada jam 3 pagi Rabu selepas anggota PGA mengejar kenderaan itu sejauh 30 kilometer (km).

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Mannadzar Nasib berkata, anggota yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah bas persiaran yang dipandu dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah kereta BMW.

Iklan

Menurut beliau, pemandu bas dan kereta itu memecut laju kenderaan mereka selepas menyedari kehadiran kenderaan anggota PGA.

"Sebagai tindakan mempertahankan diri anggota bertugas melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang bagi tujuan memberhentikan kenderaan tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun pemandu kereta berhenti di jalan Baroh Pial menghala ke Tanah Merah dan anggota PGA bertugas keluar untuk melakukan pemeriksaan namun pemandu kereta BMW cuba melanggar anggota terbabit," katanya kepada pemberita di Markas PGA Lubok Stol di sini pada Khamis.

Mannadzar memberitahu, kereta yang dipandu suspek itu terbabas ketika cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Pemeriksaan di dalam bas mendapati terdapat seramai 19 lelaki dan seorang wanita berusia 20-an. Kesemua PATI ini dibawa masuk dari pangkalan haram di kawasan Jeram Perdah untuk ke ibu kota," katanya.

Menurutnya, dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat turut ditahan bagi membantu siasatan dan dalang sebenar juga sedang dicari.

"Kes disiasat bawah Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007; Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.