GEORGETOWN - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam berbai'ah atau taat kepada pemimpin kerana ia akan memudaratkan akidah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bai'ah menyokong dan memperjuangkan Islam adalah harus malah digalakkan.
Bagaimanapun katanya, ia perlu dibezakan dengan bai'ah untuk mentaati seorang pemimpin tertentu secara khusus kerana bimbang dengan ajaran yang dibawanya.
"Adalah harus berbai'ah di dalam Islam demi untuk memperjuangkan agama, contohnya yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat Baginda di dalam Bai’at ar-Ridzwan. Namun perlu dibezakan berbai'ah untuk memperjuangkan Islam dengan untuk mentaati seorang pemimpin tertentu secara khusus.
"Agama Islam datang dari ALLAH SWT, maka ia diharuskan. Bagaimanapun, pemimpin boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Jika pemimpin betul, kita boleh ikut, tetapi jika dia salah kita tak boleh ikut. Jika pasti pemimpin mengajar ajaran sesat maka haram kita buat bai'ah untuk menyokongnya, malah boleh batalkan baiah itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai satu klip video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan pengikut bagi ajaran Irwan Alias sedang melafazkan sumpah taat setia kepada guru mereka.
Difahamkan, ia diasaskan seorang lelaki yang digelar Ayahanda Irwan Alias dari Jawa, Indonesia namun ajarannya itu sudah mula menular dan mempunyai pengikut di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat Islam khususnya dinasihatkan supaya tidak berbai'ah kerana ia cukup sekadar dengan niat yang ikhlas sahaja untuk berjuang ke jalan ALLAH.
"ALLAH Maha Mengetahui niat yang tersembunyi di dalam dada setiap manusia. Islam juga tidak membenarkan seseorang itu berbai'ah kepada guru yang membawa pengikutnya kepada ajaran yang sesat. Oleh itu, saya minta orang ramai supaya berhati-hati terhadap tindakan berbai'ah untuk taat kepada seserang pemimpin.
"Pastikan ajaran pemimpin berkenaan tidak menyimpang daripada landasan kebenaran. Sebaik-baiknya tidak perlu berbai'ah, cukup dengan niat yang ikhlas sahaja untuk berjuang ke jalan ALLAH. Jika ada guru yang minta untuk taat setia kepadanya, maka perlu rujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama supaya dapat disiasat bagi memastikan kesahihan ajarannya.
"Kadang-kadang ajaran seorang pemimpin atau tuan guru itu kelihatan bagus pada permulaannya, namun lama kelamaan akan menjadi semakin mengarut. Ada kepentingan tertentu di sebalik apa yang diajarnya.
"Selain itu, kita juga bimbang dengan ketaksuban kepada seorang pemimpin akan membawa kepada ketaatan membabi buta yang boleh mendatangkan mudarat kepada para pengikut," katanya.