KUALA LUMPUR - Seramai 78 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, di sini, dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman terhadap seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga pengurus premis berkenaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar SOP PPN.
"Hasil maklumat aktiviti pusat hiburan dan pelanggaran SOP PPN, sepasukan polis dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menjalankan serbuan ke atas premis itu pada jam 11.30 malam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas resit jualan, komputer riba, aksesori muzik, pembesar suara dan mikrofon.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (PPN) 2021," katanya.
Amihizam berkata, pemeriksaan ujian air kencing ke atas pengunjung mendapati dua daripadanya positif dadah.
"Mereka dibawa balik ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat seorang pelanggan telah enggan memberi kerjasama dengan pihak polis serta bertindak cuba melepaskan diri.
"Suspek berkenaan telah ditangkap atas kesalahan menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Amihizam berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.