SHAH ALAM - Malaysia akan bekerjasama erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dalam menangani isu buruh paksa menerusi kerangka Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (NAPFL).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau akan bertemu Duta Besar AS, Brian D. McFeeters dan Pesuruhjaya Tinggi UK, Charles Hay susulan tawaran kerjasama yang dihulurkan kedua-dua negara itu bagi berkongsi pengalaman mereka berhadapan dengan cabaran isu buruh paksa dan pemerdagangan manusia.
Iklan
Iklan
Katanya, kerjasama tersebut akan dilakukan menerusi NAPL yang telah dilancarkan pada tahun lepas.
"Isu pemerdagangan orang yang turut merangkumi aspek buruh paksa adalah cabaran besar yang dihadapi oleh negara, khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam melindungi hak-hak pekerja serta memastikan pematuhan terhadap perundangan perburuhan.
"Malaysia mempunyai perundangan untuk menangani jenayah pemerdagangan orang termasuk isu buruh paksa maka KSM komited untuk memastikan isu ini ditangani secara sistematik dengan cadangan pindaan kepada Akta Kerja 1955 [Akta 265] pada bulan Mac ini dengan memasukkan peruntukan berkaitan buruh paksa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pindaan itu adalah lanjutan daripada perluasan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] yang berkaitan dengan aspek perumahan serta penginapan pekerja kepada semua sektor pekerjaan mulai September 2020
"Selain itu saya turut mengarahkan KSM untuk terus bekerjasama dengan perwakilan diplomatik dari negara sumber, di samping pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi program-program advokasi dan kesedaran," katanya.