YAN - Sebuah keluarga di Ulu Sedaka di sini bergabung idea dan kreativiti untuk mencipta 13 replika daripada jerami sempena Pesta Jerami Gulung Castle@Wateb di sini.
Pengusaha Warung Tepi Bendang (Wateb), Fathul Amin Mat Desa, 26, berkata, dia bersama ahli keluarga yang lain mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan kesemua replika berkenaan.
Katanya, semua idea yang diketengahkan akan direalisasikan oleh abangnya Mohd Saiful, 33, yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan.
"Kami juga cuba meminimumkan kos selagi boleh dengan menggunakan barang -barang terpakai untuk mencipta kesemua replika ini.
"Contohnya kami ubahsuai meja terpakai untuk dijadikan port bergambar, kalau sekilas pandang tak perasan pun yang itu asalnya sebuah meja," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Menurutnya, pesta jerami gulung berkenaan mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-IV Sungai Limau Dalam.
"Kerjasama ini bermula sejak 1 Februari lalu, yang mana pihak MADA turut membekalkan kira -kira 40 gulung jerami untuk kita adakan pesta jerami.
"Keluasan tapak pesta jerami ini adalah seluas 0.2877 hektar yang dibangunkan di atas tanah sawah milik keluarga saya," katanya.
Fathul Amin menambah, sejak dibuka kepada pengunjung pada awal Februari lalu, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
"Ramai pengunjung luar turut mengambil kesempatan datang bergambar di sini terutamanya pada cuti Tahun Baharu Cina yang lalu," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli berkata, pesta jerami itu juga bertujuan untuk mempromosikan PPK MADA F-IV Sungai Limau Dalam selaku pembekal perkhidmatan jerami gulung kepada masyarakat setempat.
"Dalam masa yang sama kita juga mengharapkan kerjasama daripada pihak pesawah supaya memberi peluang kepada PPK untuk menjalankan proses gulungan jerami di sawah padi masing-masing.
"Ini untuk mengelakkan pembakaran jerami secara terbuka dan memelihara alam sekitar selain mengelakkan kemalangan jalan raya berlaku akibat pembakaran," katanya.
Menurutnya, aktiviti ini diharap dapat dijalankan secara tahunan terutamanya pada penghujung Januari dan awal bulan Februari setiap tahun.
"Ini kerana pada ketika itu, peladang-peladang telah mula menuai padi dan aktiviti ini juga merupakan acara simbolik meraikan penuaian padi yang telah pun bermula di sekitar Yan," katanya.
Seorang pengunjung, Mary Ooi, 52, berkata, dia tertarik untuk datang ke pesta jerami berkenaan setelah melihat gambar perkongsian rakan- rakan di laman sosial.
" Saya tak pernah datang lagi ke sini, hari ini ada kesempatan jadi saya datang, sangat cantik pemandangan ada pelbagai replika jerami yang berlatar belakangkan Gunung Jerai.
" Saya rasa ia patut diteruskan sebab istimewa dan menarik, tak pernah lagi tempat lain buat macam ini," katanya.