KUALA LUMPUR - Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli telah menunjukkan peningkatan bagi semua kategori bangunan antara 0.2 dan 3.9 peratus pada Januari bagi Semenanjung Malaysia.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend yang sama dapat dilihat bagi Sabah dan Sarawak yang masing-masing meningkat antara 0.1 dan 3.9 peratus serta 0.1 dan 3.4 peratus.
Purata harga unit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 high tensile deformed bars telah meningkat sebanyak 0.6 peratus berbanding 1.1 peratus pada Disember 2021.
Peningkatan besi yang tertinggi telah direkodkan di Kota Kinabalu sebanyak 2.4 peratus, diikuti Johor (1.8 peratus), Miri (1.0 peratus), Kuching (0.5 peratus) dan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus).
Harga purata simen turut meningkat sebanyak 2.0 peratus pada Januari 2022.
Tawau menunjukkan berlakunya peningkatan simen dengan kenaikan sebanyak 5.6 peratus diikuti Sandakan (4.3 peratus), Miri (3.6 peratus), Kuching (3.4 peratus), Kota Kinabalu (2.7 peratus), Terengganu dan Kelantan (0.9 peratus), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka (0.6 peratus), Johor (0.3 peratus) serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.2 peratus).
Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan indeks komponen kabel tembaga naik antara 0.4 peratus dan 1.5 peratus pada Januari 2022 berbanding Disember 2021.
Berdasarkan data Harga Komoditi Bank Dunia, logam dan mineral seperti aluminium, tembaga, bijih besi dan timah menunjukkan peningkatan pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya
Merujuk kepada Prospek Ekonomi Global Januari 2022 oleh Kumpulan Bank Dunia, harga timah telah mencecah paras tertinggi dan disokong oleh permintaan yang kukuh daripada sektor elektronik dan berlakunya gangguan ke atas bekalan bahan mentah.
Harga aluminium, bijih besi dan tembaga turut meningkat ekoran keputusan negara China untuk menyekat pengeluaran bahan mentah bagi mengurangkan pencemaran serta didorong oleh aktiviti yang perlahan di China.
Selepas berlakunya peningkatan yang melonjak pada 2021, harga logam dijangka perlahan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2022. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut. - Bernama