SHAH ALAM – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini tidak ditunda selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Abdul Halim Husin berkata, cadangan ini jika dilaksanakan akan memberi makna terhadap golongan miskin B40 dan kebanyakan adalah golongan bumiputera terdiri daripada orang Melayu, anak Sabah, anak Sarawak serta anak asal.
Menurutnya, berdasarkan formula gaji minima kementerian sumber manusia yang mengandungi garis kemiskinan,produktiviti serta elemen indeks harga pengguna (CPI), MTEM mendapati bahawa sebenarnya RM1,832 adalah gaji minima menggunakan jumlah purata kebangsaan.
"Mungkin kementerian boleh melakukan kira-kira semula secara lebih terperinci bagi setiap negeri khusus Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Halim berkata, mengikut tanda aras antarabangsa, gaji minima kita sepatutnya 60 peratus daripada gaji penengah. Jika gaji penengah sebelum pandemik RM2,442 gaji minima di Malaysia sepatutnya sudah mencecah RM1,456.
"Walaupun perkara ini akan beri kesan kepada perniagaan, perlu difahami peningkatan gaji juga akan meningkatkan kos operasi dan ianya juga akan meningkatkan permintaan pelbagai barangan perkhidmatan.
"Ini berlaku kerana ekonomi terbantut dan tidak mampan kerana berlaku fenomena ‘underconsumption’ di kalangan isu rumah disebabkan bergaji rendah,” jelasnya.
Katanya lagi, syarikat sarung getah Supermax juga meningkatkan gaji minima mereka kepada RM1,400 bulan lepas, tanpa desakan kerajaan.
"Hakikatnya, gaji minima negara adalah lebih rendah daripada Greater Jakarta di mana mereka membayar sebanyak USD326 sebulan ( berdasarkan 40 jam bekerja seminggu) berbanding dengan Malaysia yakni USD286 berdasarkan 48 jam bekerja seminggu atau RM1,200,” ujarnya.
Tambahnya lagi, jika gaji minima diukur dan dikaitkan dengan KDNK per kapita, Malaysia adalah negara yang paling kedekut di antara negara jiran di dalam Asean dari segi memberi upah pada pekerja.
"Malaysia hanya membayar 25 peratus daripada KDNK per kapita negara, sedangkan di Indonesia dan Filipina membayar gaji pekerja sebanyak 84 peratus dan 76 peratus di bandar bandar utama mereka.
Dalam pada itu, MTEM turut mencadangkan beberapa langkah wajar diambil untuk mengurangkan atau memperlahankan impak jangka pendek kepada syarikat kecil dan mikro untuk masa yang terhad. Tetapi bagi syarikat sederhana dan besar, impaknya agak kecil bagi kebanyakan sektor.
" Kerajaan juga mestilah mempertimbangkan mekanisme untuk menambah baik gaji golongan pertengahan kerana kita bimbang peningkatan gaji minima tidak semestinya akan menstruktur gaji dan upah mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang bernilai,” katanya.