Kegiatan ajaran sesat di Perak sudah dikenal pasti

Iklan
Mior Faridalathrash

IPOH - Polis telah mengenal pasti satu kegiatan penyebaran ajaran yang menyalahi akidah beroperasi di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kegiatan itu dikesan hasil kerjasama dan risikan dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung ajaran itu masih dijalankan dan sebarang maklumat berkaitan kumpulan terlibat belum dapat didedahkan.

"Memang isu ini telah dibincangkan antara polis dengan JAIPk, maklumat lanjut saya tak boleh dedahkan lagi kerana ia masih dalam siasatan.

Iklan

"Yang pasti, kegiatan itu telah dikenal pasti dan mereka didapati menjalankan sebaran ajaran yang menyalahi akidah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan bahawa JAIPk telah mengesan penyebaran ajaran meragukan oleh pihak tertentu di negeri ini.

Iklan

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ajaran meragukan itu berselindung atas faktor ekonomi bagi mengembangkan pengaruh.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 24,538 saman trafik telah dikeluarkan di Perak dalam Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina yang berakhir, 6 Februari lepas.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 21 peratus iaitu 4,320 saman berbanding 20,218 pada Op Selamat 16 dengan kesalahan utama membabitkan had laju.

"Sepanjang tempoh Op Selamat 17 ini, sebanyak 1,152 kes kemalangan telah direkodkan dengan penurunan 198 kes berbanding 1,350 pada Op Selamat sebelum ini.

"Namun terdapat peningkatan lima kes membabitkan kemalangan maut dengan jumlah keseluruhan 14 kematian.

"Peningkatan kemalangan ini berpunca daripada terbabas iaitu 7 kes, keluar simpang (2), bertembung (2), bergesel (1), langgar objek (1) dan cuai mengundur (1)," katanya.