KUALA LUMPUR - Seorang bekas jurugambar syarikat produksi yang sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memuat naik status jelik yang menghina agama Hindu dua minggu lalu menukar pengakuannya.
Zamri Abdul Razak, 52, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di hadapan Hakim Zamri Bakar pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk jatuh hukum.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal berkata pihaknya kecewa kerana tertuduh tidak memaklumkan pihak pendakwaan niatnya untuk menukar pengakuan selepas pihaknya menyediakan fakta berkaitan kes tersebut.
"Memang menjadi hak tertuduh untuk menukar pengakuan, namun dia (tertuduh) langsung tidak memaklumkan lebih awal untuk menukar pengakuannya termasuk kehadiran peguam," katanya.
Peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon maaf sebelum mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalah tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua duda anak tiga itu didakwa secara sedar membuat dua hantaran yang bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil facebook 'Zamri Abdul Razak'.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pukul 12.45 tengahari pada 10 Mac lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen dan mengekalkan jumlah ikat jamin RM15,000.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina agama Hindu: Polis tahan seorang individu