SHAH ALAM - Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) bersetuju meletakkan sasaran Satu Keluarga, Satu Rumah bertepatan dengan misi pasukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi agenda ‘Home Ownership Programme’ (Hope).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, agenda tersebut melihat kepada ekosistem perumahan secara menyeluruh dan holistik.
Tambahnya, KPKT juga kini membangunkan pemetaan perumahan atau housing mapping bagi membolehkan penyediaan rumah mampu milik ini disesuaikan dengan kemampuan lokaliti.
"Mampu milik di Kuala Lumpur, belum tentu mampu milik di Kinabatangan. Begitu juga di Ipoh dengan Gerik.
"Ada perbezaan kemampuan dan ini yang akan diberi penekanan oleh kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, MPMMN juga membincangkan dan menyelaras isu-isu berkenaan perancangan, penyelarasan dan penyediaan 500 ribu rumah mampu milik yang disasarkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Selain itu, mesyuarat itu juga menentukan hala tuju perumahan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan dan swasta.
"Ia juga membincang dan menyelaras isu-isu berkenaan perumahan mampu milik dan cadangan konsep baharu; membincang serta mencadangkan penambahbaikan ke atas isu-isu pemilikan rumah terutamanya aspek pembiayaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Reezal berkata, mesyuarat itu juga mendapat insights yang cukup berguna melalui pembentangan oleh Khazanah Research Institute (KRI) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya, isu pembiayaan dan keupayaan mendapatkan fasiliti kewangan akan dilihat secara bersepadu bagi membantu Keluarga Malaysia.
MPMMN telah diaktifkan semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 November 2021 lalu merupakan platform bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara.
Pada Khamis, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini telah melihat secara menyeluruh perumahan mampu milik dan memutuskan kerangka hala tuju baharu, strategi serta gandingan sinergi semua pihak.