MOTAC atur latihan SOP baharu umrah

Iklan
MOTAC sedang mengatur sesi latihan tenaga pengajar (ToT) mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu umrah kepada semua syarikat pengendali ibadah itu di bawahnya. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi latihan tenaga pengajar (ToT) mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu umrah kepada semua syarikat pengendali ibadah itu di bawahnya.

MOTAC dalam kenyataan pada Khamis berkata, sesi yang akan diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu, adalah bagi membolehkan syarikat terlibat memberi taklimat dan penerangan kepada jemaah terutama berkaitan tiga SOP baharu berhubung aktiviti umrah bermula 14 Februari ini.

Iklan
Iklan

SOP baharu itu antaranya menghendaki syarikat pengendali melantik orang yang dipertanggungjawabkan (PIC) sekiranya mempunyai 40 orang jemaah dan ke atas, serta menetapkan PIC menguruskan jemaah di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia jika kumpulan mempunyai kurang daripada 40 orang jemaah.

Kerajaan juga mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak dan membenarkan mereka menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa perlu memohon kelulusan Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

Iklan

Perjalanan mengerjakan umrah sebelum ini ditangguhkan selama sebulan berkuat kuasa pada 8 Januari lepas berikutan penularan jangkitan varian Omicron.

Umat Islam dibenarkan untuk menjalani ibadah itu semula bermula Selasa lepas (8 Februari). - Bernama

Iklan