SHAH ALAM - Data negara dan global menunjukkan pengambilan dua dos vaksin Sinovac diikuti dengan dos penggalak Pfizer atau AstaZeneca (AZ) lebih berkesan berbanding dos ketiga Sinovac terutamanya dalam mengawal jangkitan varian Omicron.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalai Peariasamy menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata, meskipun vaksin dos ketiga Sinovac diambil, namun tahap meneutralkan antibodi masih rendah.
Dr Kalai turut mengkongsikan kenyataan ICR yang menjelaskan mengenai perkara tersebut.
Kenyataan ICR memaklumkan bahawa antara penerima Sinovac, penggalak heterolog iaitu vaksinasi Sinovac utama, diikuti dengan penggalak Pfizer menawarkan perlindungan yang lebih besar terhadap jangkitan Covid-19 daripada dos penggalak homolog (tiga dos Sinovac).
"Di Malaysia, Kajian Keberkesanan Sebenar Dunia bagi Vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia (RECoVaM, NMRR 21-1660-60697) menggunakan data dari 21 November 2021 hingga 7 Januari 2022 untuk membandingkan kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangan penerima dos penggalak dan mereka yang baru sahaja menyelesaikan vaksinasi primer (sekurang-kurangnya 14 hari selepas menerima dos penggalak atau primer).
"Analisis itu berdasarkan data dunia sebenar, termasuk 13 juta orang yang telah menerima siri vaksinasi utama Pfizer dan Sinovac,” kata kenyataan tersebut pada Khamis
Menurut kenyataan itu, selepas mengambil kira data maklumat, mereka yang baru menerima dos penggalak sekurang-kurangnya 90 peratus kurang kebarangkalian dijangkiti Covid-19 berbanding mereka yang hanya mempunyai dua dos.
"Selaras dengan bukti dan gelombang Omicron yang berterusan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengesyorkan Pfizer atau AZ sebagai penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac.
"Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menasihatkan mana-mana negara yang sedang mempertimbangkan jadual penggalak heterolog, bergantung pada ketersediaan produk, vaksin mRNA atau vaksin vektor virus boleh dianggap sebagai dos ketiga bagi mereka yang menerima vaksin tidak aktif untuk dos awal,” tambah kenyataan tersebut.