SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.
Menurutnya, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta.
"Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (Hope) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mesyuarat yang diadakan secara telesidang yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta menteri- menteri kabinet,
Turut hadir wakil-wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun serta wakil pemaju perumahan swasta.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat yang diadakan juga gesa Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.
"Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik),” jelasnya.
Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran ‘Satu Keluarga,Satu Rumah’ dapat direalisasikan.
"Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.
Katanya, selain itu kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.
"Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya.
Menurutnya, kebimbingan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.
"Justeru, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” tegasnya,
Ismail Sabri berkata, MPMMN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.
"Maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan,” katanya.