ALOR SETAR - Seorang isteri tidak menyangka tindakan suaminya yang mengizinkan dia bekerja merupakan petanda dia dan anak-anak akan kehilangan insan tersayang itu selama-lamanya.
Siti Khalijah Mohd Roslee, 40, berkata, jasad suaminya, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sini setelah hilang di laut selepas bot dinaiki dipukul ombak dekat Kuala Kuar, pada Selasa.
Menurut Siti Khalijah, sebelum suaminya keluar ke laut dia ada memberitahu hasratnya untuk bekerja memandangkan anak-anak sudah besar dan boleh berdikari.
"Sebelum ini setiap kali saya beritahu saya mahu bekerja, dia tak izinkan, tapi kali ini dia bagi.
"Cuma dia ada kata 'kalau nak kerja, kerja la, tapi tanggungjawab semua ayang kena tanggung la yang abang tinggal'.
"Saya tidak sangka kata-kata dia itu ada maksud sebaliknya, mungkin dia sudah dapat rasakan dia akan tinggalkan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Sala di sini pada Khamis.
Siti Khalijah berkata, suaminya sebelum ini melakukan kerja kampung dan mula bekerja sebagai nelayan sejak dua bulan lalu.
"Apa pun yang berlaku, saya dan anak-anak reda. Namun ketika ini saya tak mampu berfikir lagi tentang perancangan seterusnya untuk kami sekeluarga.
"Dia tempat kami bergantung, dia juga ada berjanji hendak bawa anak-anak beli baju sekolah selepas ini, nampaknya hasrat dia tidak kesampaian," katanya yang mempunyai empat anak berusia antara 7 hingga 16 tahun.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat Mohd Ayob ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.7 batu nautika dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Menurutnya, anggota Maritim menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat yang tidak berbaju kira-kira jam 1.10 tengah hari pada Khamis.
"Setibanya di lokasi, mayat tersebut dibawa naik ke bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia sebelum dipindahkan ke bot aluminium Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke Jeti Nelayan Kuala Kuar dekat sini.
"Jasad mangsa kemudian disahkan waris sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat," katanya.