ISKANDAR PUTERI - Johor menyokong pembukaan sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac depan namun berharap pelaksanaannya tidak membebankan rakyat terutama dari segi tanggungan kos kuarantin.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga berharap keputusan yang akan diambil dilakukan secara bilateral dengan persetujuan dua negara khususnya melibatkan Singapura.
"Apabila bercakap soal sempadan ini, kita ambil pendekatan secara bilateral bukan unilateral, maknanya persetujuan antara dua negara ini juga menjadi pertimbangan.
"Kita tidak mahu menyusahkan rakyat... kos kuarantin yang mahal perlu ditanggung, melainkan kerajaan ambil keputusan sedia membayar kos...tetapi itu tertakluk kepada persetujuan bersama dua negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Common Ground Iskandar Space di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac.
Hasni berkata, pembukaan sempadan juga mungkin membolehkan jumlah pengembara menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dipertingkat.
"Kita sekarang ini (jumlah pengembara VTL darat) separuh daripada apa yang diluluskan iaitu lebih kurang 700 pengembara sehala, mungkin boleh berlaku dalam masa terdekat ini, jumlah itu ditingkatkan.
"Jadi kita boleh buat persiapan dari segi ujian yang boleh dijalankan, lokasi sama ada sesuai atau tidak kerana sistem pengangkutan VTL darat adalah menerusi bas, mungkin kebenaran untuk buka juga libatkan bentuk pengangkutan lain termasuk persendirian, kereta api dan akan libat prosedur operasi standard serta kaedah adalah lain,” katanya.
Pada Selasa lepas, MPN mengesyorkan agar kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.
Beliau berkata syor itu merupakan langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini. - Bernama