Kerajaan Pahang bakal saman Presiden Peka

Iklan
Shariffa Sabrina

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang bakal memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil jika gagal membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ia berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan aktivis alam sekitar itu yang mengkritik dasar pembalakan di negeri itu yang disifatkan sebagai fitnah.

Iklan
Iklan

Memetik portal The Malay Mail, Shariffa Sabrina juga diminta membayar ganti rugi RM1 juta terhadap kenyataan yang didakwa telah mencemarkan nama baik kerajaan negeri itu.

Beberapa bentuk tuduhan seperti banjir di negeri Pahang berpunca daripada pembalakan yang tidak terkawal yang telah dimuat naik ke media sosial dan akhirnya mendapat liputan akhbar. Dalam surat saman tersebut, Kerajaan Pahang mendefinasikan kenyataan itu sebagai berunsur fitnah dan mencemarkan integritinya.

Iklan

"Adalah jelas bahawa kenyataan fitnah adalah palsu dan tidak berasas. Akibat kenyataan yang disiarkan itu, anak guam kami mendapat reaksi negatif daripada orang ramai, sekali gus merosakkan nama baik dan mencemar nama baik anak guam kami.

"Selain itu, sikap tidak bertanggungjawab dengan kenyataan yang dia telah lakukan menyebabkan prejudis (terhadap) anak guam kami yang mana orang ramai menganggap anak guam kami berbohong, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Iklan

Surat tuntutan itu diserahkan oleh firma Hidayah Ishak and Partners, yang dimuat naik oleh Shariffa Sabrina di akaun Instagramnya pagi tadi.

Shariffa Sabrina diberi masa dua minggu untuk mengeluarkan permohonan maaf tanpa syarat, jika gagal, saman fitnah akan difailkan terhadapnya.

Beliau dikatakan membuat kenyataan berbaur fitnah itu dalam dua catatan yang disiarkan di akaun Facebook peribadinya bertarikh 29 dan 30 Disember 2021, serta semasa wawancara dengan Sinar Harian pada 12 Januari lalu.

Dalam satu daripada tiga kenyataan itu, aktivis itu berkata, rasuah dalam pihak berkuasa perhutanan negeri berleluasa dan penyalahgunaan kuasa telah membolehkan syarikat yang dikaitkan dengan pihak istana untuk melakukan pembalakan sewenang-wenangnya.

Shariffa Sabrina dikatakan menyalahkan industri pembalakan akibat banjir berulang di negeri itu.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan berkenaan kepada portal MalaysiaKini, Shariffa Sabrina mempertikaikan bagaimana Kerajaan Negeri Pahang boleh menuntut permohonan maaf hanya kerana membangkitkan isu yang membimbangkan.

"Isu pembalakan dan alam sekitar adalah isu utama di negara kita. Kerajaan negeri sepatutnya bekerjasama dengan saya dan pihak berkepentingan atau aktivis lain dalam usaha mempertahankan hutan dan sumber asli kita,” katanya.

Aktivis alam sekitar itu mendakwa tindakan undang-undang tersebut digunakan untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut pengkritik.

Sehubungan itu, peguamnya dijangka menjawab permintaan itu tidak lama lagi.