Kemampuan kita tidak setanding teknologi

Iklan
Foto hiasan 123RF

TIDAK dinafikan kemudahan telekomunikasi seperti talian internet hari ini menjadi keperluan bagi setiap individu terutama sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Penggunaannya cukup meluas termasuk dalam kalangan pelajar kerana masing-masing mengikuti pembelajaran secara dalam talian melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Iklan
Iklan

Tidak terkecuali bagi mereka yang bekerja dari rumah (BDR) dan perniagaan yang mula menambah perkhidmatan pesanan secara dalam talian.

Oktober tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyasarkan untuk meningkatkan tahap liputan internet kepada 96.9 peratus di seluruh negara hujung tahun ini.

Iklan

Usaha ke arah itu dikatakan sedang giat dilakukan bagi mempercepatkan peningkatan tahap liputan dengan mengambil kira kepentingan dan keperluannya yang semakin meningkat.

Tahun lalu, tahap liputan yang dicapai ialah 94.1 peratus untuk seluruh negara, manakala bagi kelajuan purata internet pada hujung September mencapai 30 megabit per saat (Mbps) dengan sasaran 35 Mbps tahun ini.

Iklan

Bukan itu sahaja, negara juga akan mengalami peralihan evolusi teknologi komunikasi mudah alih kepada teknologi 5G yang dilihat lebih canggih, moden dan berteknologi tinggi.

Jadi, dapat dilihat Malaysia tidak ketinggalan untuk terus memperkemaskan sistem jaringan sedia ada agar sama pantas seperti negara maju lain supaya tidak ketinggalan dari segi kemajuan sistem jaringan sedia ada.

Usaha yang akan dilakukan itu membuktikan komitmen pihak kerajaan memberi keutamaan kepada arus kemajuan teknologi hari ini.

Persoalannya, sudahkah kita bersedia ke arah itu?

Ya, masyarakat sememangnya memerlukan teknologi terkini dan canggih untuk melakukan pekerjaan harian tetapi yang kita lihat, kemampuan kita tidak setanding teknologi.

Perkhidmatan internet hari ini dilihat masih tidak menyeluruh, bukan sahaja di kawasan pedalaman, malah di bandar-bandar besar turut mengalami masalah capaian.

Masalah dihadapi tidak hanya kepada capaian internet tetapi talian telefon turut terganggu di sesetengah kawasan dan yang menjadi tanda tanya apabila masalah itu berlaku di kawasan bandar.

Adakah ia masalah keciciran dan masalah terpencil atau sememangnya tidak diendahkan sehinggalah ia dilaporkan di media massa?

Sekiranya segala permasalahan tersebut terutama di kawasan-kawasan bandar masih tidak dapat diselesaikan, adakah berbaloi untuk kita beralih kepada teknologi yang lebih canggih?

Penulis sendiri sebenarnya berdepan dengan masalah ini. Talian telefon bimbit ketika berada di rumah akan bertukar menjadi no coverage yang sekali gus memberi petunjuk talian internet juga tidak boleh digunakan.

Tidak hanya itu, untuk melanggan internet secara fiber juga tidak dapat kerana kehabisan port.

Walaupun sudah berkali-kali dilaporkan kepada kesemua pihak yang berkenaan tetapi masih tiada penyelesaian.

Kini, sudah hampir tiga tahun masalah tersebut berlarutan.

Terbaharu, pengalaman ketika membuat pesanan makanan di sebuah restoran di pusat beli-belah yang menggunakan imbasan kod QR. Pesanan yang dibuat mengambil masa hampir setengah jam disebabkan talian telefon hanya mempunyai dua bar.

Apabila situasi itu berlaku, penulis teringat kembali jawapan yang pernah diberikan seorang pekerja khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat telekomunikasi –"Kalau di dalam bangunan memang talian tiada.”

Tidak salah untuk melaksanakan yang terbaik untuk rakyat, malah ia dialu-alukan tetapi selesaikan dahulu masalah sedia ada.

Diharap agar mana-mana pihak yang berkenaan dapat memberikan perkhidmatan telekomunikasi dan capaian internet terbaik, sekali gus dapat dinikmati semua masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada.

* Mariatul Qatiah Zakaria ialah Editor Sinar Bestari