PARTI Ikatan Demokratik (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan) mampu beri saingan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Biro Politik Muda mengesahkan telah melakukan beberapa siri rundingan bersama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah ) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac akan datang.
Muda diperuntukkan akan bertanding di enam kerusi melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Manakala bagi Pejuang setakat ini berhasrat untuk bertanding solo tanpa menyertai Pakatan Harapan (PH).
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Mukhriz bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan bersama dengan Parti Muda, namun sebarang bentuk keputusan kerjasama politik sewaktu PRN Johor belum dimuktamadkan.
Pada 22 Januari lalu, Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh berkata, parti itu akan bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau berkata sekiranya perbincangan itu mencapai kata putus, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Parti Warisan pula positif akan bertanding pada PRN Johor namun masih menunggu kata putus daripada Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie dikhabarkan akan berada di Johor Bahru pada 15 Februari ini untuk pelancaran rasmi Warisan Johor, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Junz Wong.
Warisan membuat kejutan apabila menerima borang keahlian daripada 300 bekas ahlI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai diketuai mantan setiausahanya, Hishamuddin Busri di Pekan Nanas Ahad lalu.
Terbaharu semalam, Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut memutuskan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi.
Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari 2022.