RABU lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.
SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. Malah, SPR turut memohon kerjasama semua pihak untuk menggalakkan pengundi agar keluar mengundi.
PRN Johor dijangka lebih menarik berbanding Melaka dan Sarawak kerana buat pertama kali golongan muda berumur 18 tahun ke atas layak mengundi.
Perubahan besar itu akan menjadikan PRN Johor sebagai penanda aras bagi pilihan raya selepas ini termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
UMNO dilihat mempunyai momentum yang baik menuju pertembungan di Johor setelah menang besar di Melaka.
Jika Barisan Nasional (BN) berjaya mendapatkan satu lagi kemenangan, ia memberi keyakinan kepada UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
Bagi Pakatan Harapan (PH), ia adalah peluang untuk menebus maruah setelah kalah teruk di Melaka dan Sarawak.
Kali ini strategi PH amat berbeza berbanding PRN Melaka. Selain PKR menggunakan logo sendiri, gabungan itu juga bersedia bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi mengelak pertembungan kerusi.
Jika gabungan PH dan Muda dapat direalisasikan, ia pasti akan memberi kelainan yang boleh memberi saingan kepada BN.
Bagi Perikatan Nasional (PN), mereka masih yakin dengan formula pada PRN Melaka dan berpegang kepada kekuatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan tokoh politik Johor disegani.
Lebih menarik, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sebelum ini ditangguhkan akibat banjir akan diadakan pada 16 hingga 19 Mac ini.
Sekiranya BN menang besar lagi, dijangka perwakilan UMNO akan mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen. Mereka berasakan sekarang adalah masa terbaik untuk PRU15 diadakan bagi memastikan UMNO dapat kembali berkuasa semula.