Saravanan impi dakap kejuaraan di Kemboja pada hari jadi

Iklan
Aksi persahabatan skuad B-23 kebangsaan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Petaling Jaya pada Khamis yang berkesudahan seri 1-1. -Foto:FAM

PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan T Saravanan mengidamkan trofi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya ke-21.

Lebih membakar semangatnya untuk mencapai sasaran itu apabila perlawanan akhir kejohanan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja bermula Isnin depan, jatuh pada hari lahirnya iaitu 26 Februari.

Iklan
Iklan

Bagi merealisasikan impiannya, pemain Penang FC itu sedar dia terlebih dahulu perlu memberikan persembahan yang terbaik untuk membantu pasukan mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan sehingga mara ke pentas final.

"Kami pemain semua sudah bersedia 100 peratus, segala persiapan dan latihan akan diterjemahkan di padang. Dari segi permainan, pasukan hanya perlu tingkatkan lagi persefahaman dan mempertajamkan penyudah ketika menyerang.

Iklan

"Sasaran peribadi saya pasukan muncul juara sebab kalau layak ke final pada 26 Februari adalah hari jadi saya dan saya bersama rakan sepasukan akan beri yang terbaik. Saya nak piala kerana sudah lama tak rasa (julang) piala,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas aksi persahabatan skuad B-23 kebangsaan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Petaling Jaya pada Khamis yang berkesudahan seri 1-1.

Iklan

Sementara itu, biarpun khidmatnya ditagih ketua jurulatih pasukan Brad Maloney di bahagian pertahanan, bekas pemain Selangor FC 2 itu yang beraksi sebagai pemain sayap bersama skuad Harimau Kumbang tidak berdepan masalah menyesuaikan diri di posisi baharunya.

"Ia sedikit berbeza tapi gaya permainan serupa, cuma bila di posisi pertahanan-sayap sekarang apabila pasukan sedang menyerang saya akan bertindak sebagai pemain sayap dan apabila bertahan saya menjadi pertahanan,” katanya.

Skuad B-23 kebangsaan yang berlepas ke Kemboja pagi Jumaat dan akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Prince, Selasa depan sebelum bertemu Laos di venue sama (18 Februari) dan menamatkan saingan kumpulan berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari. - Bernama