IPOH - Seorang ibu mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban ditanggung selepas anak perempuannya disahkan menghidap kanser tulang tahap empat, sejak tahun lalu.
Wan Wai Kin, 51, berkata, keadaan anaknya, Teh Xin Tong, 20, yang menghidap kanser tulang pada kaki kiri perlu menjalani rawatan susulan termasuk kemoterapi dengan kos hampir RM30,000 sebulan.
Menurutnya, sebelum ini dia dan suami, Teh Kok Kian, 53, masih mampu menampung kos rawatan menggunakan duit simpanan termasuk menggunakan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun jelasnya, kesihatan anaknya itu semakin merosot dan memerlukan rawatan-rawatan alternatif lain untuk memastikan keadaannya berada dalam keadaan baik.
"Duit simpanan saya dan suami semakin susut, kami dah tak tahu cara bagaimana lagi untuk menampung pembiayaan rawatan anak.
"Ahli keluarga dan rakan terdekat ada memberi sumbangan, tetapi semuanya sudah pun digunakan bagi tujuan rawatan.
"Saya juga tidak lagi sanggup melihat anak dalam keadaan menanggung kesakitan akibat penyakit itu," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Wisma MCA Perak di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu sebelum ini seorang periang dan sangat aktif di sekolah.
Katanya, akibat penyakit dihidapi, dia terpaksa berhenti sekolah pada Julai tahun lalu untuk rawatan sehingga tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).
"Emosinya sangat terganggu, bertukar menjadi seorang yang pendiam dan selalu menangis sampaikan kami terpaksa memanggil khidmat kaunselor datang ke rumah.
"Doktor memberitahu sel kansernya sudah merebak. Walaupun tiada jaminan untuk pulih, sekurang-kurangnya dengan meneruskan rawatan dapat memberi harapan kepadanya menjalani kehidupan sebagai pesakit kanser," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Khidmat Awam dan Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, keluarga berkenaan akan didaftarkan di bawah 1MCA Medical Foundation.
"Kita harap lebih banyak sumbangan dapat dikumpul bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Low Guo Nan di talian 012-5321128 untuk mendapatkan maklumat lanjut.