ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas bertindak kasar dengan cuba menendang pengamal media yang membuat liputan perintah reman ketua penolong pengarah jabatan kerajaan dan tiga kontraktor yang disyaki membuat tuntutan palsu RM1.2 juta, semalam.
Lelaki yang dipercayai ahli keluarga penjawat awam itu bertindak sedemikian kira-kira jam 10.20 pagi untuk menghalang pengamal media merakamkan gambar wanita berkenaan di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Iklan
Iklan
Pada mulanya, warga emas itu dilihat cuba mengiringi wanita berkenaan yang tiba dengan kenderaan SPRM dengan menutup wajah dengan tudung biru dipakainya.
Bagaimanapun, dia kemudian dilihat cuba menendang pengamal media yang membuat liputan kes terbabit sebelum dihalang anggota SPRM Kedah.
Tendangan warga emas itu terkena kamera seorang jurugambar, bagaimanapun tiada sebarang kerosakan berlaku.
Namun, lelaki itu segera memohon maaf kepada jurugambar berkenaan dan pengamal media lain selepas menyedari kesalahan dilakukannya.
Terdahulu, seorang ketua penolong pengarah jabatan kerajaan dan tiga kontraktor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM1.2 juta.