KDNK Malaysia pulih 3.6 peratus suku keempat 2021

Iklan
KDNK Malaysia pada suku tahun keempat 2021 (ST4 2021) pulih 3.6 peratus seiring dengan pertumbuhan kukuh eksport dan import pada suku tahun ini. (Gambar Kecil) Mohd Uzir

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun keempat 2021 (ST4 2021) pulih 3.6 peratus seiring dengan pertumbuhan kukuh eksport dan import pada suku tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK meningkat sebanyak 6.6 peratus (ST3 2021: -3.6 peratus).

Iklan
Iklan

Menurutnya, prestasi ekonomi bulanan berkembang sederhana pada suku tahun keempat dengan pertumbuhan 2.7 peratus pada Oktober dan meningkat kepada 5.4 peratus pada November 2021.

"Bagaimanapun, pertumbuhan ini menyederhana kepada 2.6 peratus pada Disember 2021. Secara keseluruhan, prestasi ekonomi Malaysia pada tahun 2021 menunjukkan momentum pemulihan dengan pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penurunan 5.6 peratus pada tahun 2020.

Iklan

"Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi tahun 2021 masih di bawah paras pra pandemik 2019.

"Walau bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku tahun keempat 2021 telah melepasi paras suku tahun keempat 2019 sebanyak 0.01 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, prestasi ekonomi pada suku tahun keempat 2021 dari segi penawaran dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

Sementara itu, daripada sudut permintaan pula, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi positif kecuali pembentukan modal tetap kasar.

"Dari segi prestasi sektoral, sektor pembuatan yang mana merupakan penyumbang utama kepada prestasi ekonomi Malaysia meningkat ketara 9.1 peratus (ST3 2021: -0.8 peratus) pada suku tahun keempat 2021 dipengaruhi oleh produk elektrik, elektronik dan optikal (16.4 peratus) diikuti produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.5 peratus).

"Pemulihan dalam produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.8 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (5.6 peratus) turut mempengaruhi prestasi sektor ini,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, keseluruhan sektor pembuatan meningkat 8.3 peratus (ST3 2021: -1.8 peratus).

Katanya, sektor perkhidmatan meningkat 3.2 peratus (ST3 2021: -4.9 peratus) pada suku tahun keempat 2021, manakala bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor tersebut pulih sebanyak tujuh peratus.

Jelas beliau, prestasi itu dipengaruhi oleh subsektor perkhidmatan swasta yang merekodkan kenaikan 2.7 peratus (ST3 2021: -6.8 peratus) disokong oleh subsektor maklumat dan komunikasi (6.8 peratus), pengangkutan dan penyimpanan (11.7 peratus) serta kewangan dan insurans (empat peratus).

"Selain itu, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus sementara subsektor hartanah, perkhidmatan perniagaan dan pendidikan swasta masih mengekalkan trend penurunan,” ujarnya

Dalam pada itu, jelas Mohd Uzir, kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 13.3 peratus (ST3 2021: 5.1 peratus) dan 14.6 peratus (ST3 2021: 11.7 peratus) berikutan dagangan barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Katanya, eksport bersih meningkat sebanyak 2.6 peratus berbanding penurunan 37.5 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong oleh lonjakan permintaan luaran.

"Prestasi keseluruhan tahun 2021 disumbangkan oleh pemulihan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan serta perlombongan dan pengkuarian, manakala sektor pertanian dan pembinaan menunjukkan penurunan pada tahun 2021.

"Perbelanjaan KDNK secara keseluruhan didorong oleh komponen perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan kerajaan.

"Sebaliknya, pembentukan modal tetap kasar dan eksport bersih masih dalam pertumbuhan negatif. Pada tahun 2021, KDNK pada harga semasa berjumlah RM1.5 trilion dengan pendapatan negara kasar per kapita meningkat sebanyak 7.7 peratus berbanding 2020,” tambah beliau.