Masalah disiplin hantui Arsenal

Iklan
Mikel Arteta - Foto AFP

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menegaskan anak buahnya perlu menyelesaikan segera masalah disiplin sekiranya mahu meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan, selepas The Gunners menang 1-0 ke atas Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux.

Malah Arteta mengakui masalah disiplin terutamanya berkaitan kad merah secara tidak langsung menjejaskan persediaan pasukan dalam mengharungi baki saingan liga.

Iklan
Iklan

"Saya telah berada di negara ini selama 18 tahun dan tidak pernah melihat insiden seperti ini.

"Sejujurnya pemain menyukarkan cara keseluruhan pasukan beraksi dengan 10 pemain. Malah kami banyak menderita dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Iklan

"Untuk memenangi perlawanan bola sepak dengan 10 pemain ternyata amat sukar dan saya amat berharap pemain Arsenal dapat menghentikannya dan kembali lebih berdisiplin," ujarnya.

The Gunners bermula baik apabila mendahului tuan rumah hasil jaringan Gabriel pada minit ke-25, yang menyaksikan pelawat seterusnya menguasai rentak perlawanan.

Iklan

Namun apabila Gabriel Martinelli dilayangkan kad merah pada minit ke-69, rentak perlawanan kembali berpihak Wolves apabila mula mengasak terutamanya dalam 10 minit terakhir.

Tambah Arteta, para pemain meletakkan pasukan dalam situasi kurang selesa pada penghujung babak selepas insiden tersebut.

"Kami meletakkan pasukan dalam masalah dengan kad merah dan terpaksa bergelut. Wolves menghadirkan tujuh pemain di hadapan, namun kami mempertahankan benteng dengan sangat baik.

"Kami perlu bermain dengan 11 pemain dalam 16 perlawanan terakhir dan itu adalah kunci. Untuk memenangi perlawanan dengan 10 pemain sebenarnya adalah sangat tidak mungkin.

"Kini kami perlu mengharungi perlawanan demi perlawanan dengan margin kecil pemain untuk memenangi perlawanan," ujarnya.

Arsenal selepas ini tidak akan beraksi sehingga 19 Februari depan menanti kunjungan Brentford di Stadium Emirates.