SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor berpendapat UMNO dan Barisan Nasional (BN) memaksa rakyat menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mendapat kuasa penuh parti itu.
Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, persengketaan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan rakyat muak dengan situasi politik di negara ini.
"Jika harga ayam, telur dan sayur pun mereka tidak mampu uruskan, apakah yang diharapkan daripada UMNO dan BN?
"Rakyat Johor berhak menerima sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan berkhidmat sepenuhnya untuk mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Menurut data SPR, 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor.
Jumlah pengundi di Johor juga mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.
PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14.
Dalam pada itu, Izham berkata, sejak awal lagi Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju PRN Johor diadakan ketika kerana ia bukan masa sesuai untuk pilihan raya.
Tambahnya, PH berusaha mengekalkan kerajaan BN dan PN yang ada di Johor sehingga akhir penggal namun berlaku sebaliknya kerana UMNO dan BN tamak kuasa.