Warga emas didakwa tipu jual baucar hotel tidak wujud

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) tiba di pekarangan mahkamah diiringi anggota polis.

SEREMBAN - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di dua kamar Mahkamah Majistret pada Jumaat atas lapan pertuduhan menipu dengan menawarkan baucar penginapan tidak wujud berjumlah RM5,321 dua tahun lalu.

Tertuduh Mat Isa Mat Dali, 56 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin dan Mohd Firdaus Saleh sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan tujuh individu dengan menawarkan baucar penginapan di sebuah hotel terkenal di Port Dickson sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah antara RM360 hingga RM1,557 ke dalam akaun banknya.

Kesemua individu itu tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Julai hingga 16 Ogos 2020 di beberapa lokasi sekitar Nilai.

Tertuduh turut didakwa menipu seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan mengeluarkan nama daripada senarai hitam bank di mana perkhidmatan tersebut tidak wujud.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pekan Mantin, Nilai pada jam 4.40 petang 5 Julai 2020.

Mangsa memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke dalam akaun bank tertuduh selepas terpedaya dengan kata-katanya.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan dia menghidap penyakit angin ahmar serta isterinya hanya seorang suri rumah selain menghidap penyakit diabetis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.