KUALA SELANGOR - Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama seorang tekong dan dua pembantu tekong dalam Op Pintas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di perairan Tanjung Karang di sini pada Khamis.
Operasi tersebut dijalankan pegawai dan anggota Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), JSJ Bukit Aman bersama Unit Risik dan Bot Ronda Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, tekong berkenaan aktif menyeludup keluar dan masuk migran ke Malaysia sejak tiga bulan lalu menggunakan jalan laut yang tidak diwartakan.
"Tangkapan ke atas sebuah bot kayu jenis pom-pom di lokasi 0.9 batu dari pesisiran Pantai Sungai Serdang dalam daerah Klang Utara yang disyaki membawa migran warganegara Indonesia.
"Hasil soal siasat awal terhadap migran, bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah 4 hingga 5 juta rupiah (RM1200 hingga RM1500) yang dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua migran adalah warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke Malaysia.
"Seramai 88 migran warga Indonesia ditahan terdiri daripada 68 lelaki dan 20 orang wanita," katanya.
Katanya, tekong yang berusia 44 tahun dan dua orang pembantu tekong berusia 42 dan 45 tahun semuanya merupakan lelaki warga Indonesia.
Fadil berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot kayu jenis pom-pom, sebuah enjin bot dan tiga buah telefon bimbit.
"Kesemua tangkapan, migran serta rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujar beliau.