MELAKA - Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memperoleh petunjuk prestasi utama (KPI) kurang daripada 50 peratus bagi tempoh tiga bulan berturut-turut atau sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan perkhidmatan akan diambil tindakan penahanan elaun bulanan dan dicadangkan untuk ditamatkan perkhidmatannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata penetapan KPI berkenaan adalah berdasarkan Laporan Penilaian Prestasi Bulanan (LPNB) Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka bagi memastikan setiap ahli majlis yang dilantik dapat memainkan peranan mereka sewajarnya.
"KPI ini sebahagian penambahbaikan penilaian ahli majlis yang dilakukan pada tahun ini bertujuan bagi memperkasakan perkhidmatan mereka berdasarkan aktiviti harian seperti kehadiran mesyuarat, penganjuran program kebersihan dan aktiviti gotong-royong di kawasan PBT.
"Ahli majlis perlu bersikap lebih peka dan proaktif dalam melaksana dasar-dasar yang telah diputuskan, boleh berfikir menjangkaui biasa serta sentiasa melihat masalah sebagai peluang.
"Ini kerana kita mahu pelanggan merasa seronok berurusan dengan kerajaan, berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, serta menyanjung tinggi sikap responsif dan keprihatinan yang kita amalkan," katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis PBT pada Jumaat. Turut Hadir Ahli Majlis PBT Negeri Melaka Tahun 2022.
Beliau berkata, semua ahli majlis disaran untuk turun padang melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing bagi memastikan perancangan pembangunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan secara efektif serta pemprosesan kelulusan pelan pembangunan dibuat dengan cepat dan tepat demi kepentingan masyarakat tempatan.
Katanya, selain itu, ahli majlis perlu berperanan sebagai penasihat kepada PBT mengikut profesion atau kepakaran masing-masing dan perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman berkaitan tugasan daripada aspek perundangan supaya keputusan yang dibuat mempunyai asas yang kukuh dan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan.
Sulaiman berkata, ahli majlis PBT juga perlu meneruskan usaha dan melaksanakan kempen kebersihan di kawasan masing-masing bagi memastikan Melaka sentiasa menjadi negeri terbersih dan berupaya menggamit lebih ramai pelancong.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri telah menerima peruntukan berjumlah RM22.8 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membiayai sebanyak 298 projek pembangunan melibatkan empat PBT di negeri itu, sepanjang tahun lepas.
"Antara projek berkenaan ialah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan Projek Landskap Persekitaran Kehidupan.
"Selain itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM250,000 kepada empat PBT di negeri itu dan Jabatan Perhutanan bagi melaksanakan program penanaman semula pokok selari dalam usaha menjaga alam sekitar dengan visi 'Menuju Negeri Lestari'," katanya.
Beliau berkata beberapa tindakan juga perlu dilakukan PBT di negeri itu termasuk meningkatkan kerja-kerja keindahan dan keceriaan di kawasan tumpuan bagi menjadikan Melaka sebagai negeri cantik 1,000 bunga dan memastikan kerja-kerja pembersihan sampah-sampah longgok atau sampah haram serta pemeriksaan dan penggredan tandas awam dilaksanakan.
Katanya, projek pembangunan infrastruktur dan utiliti serta menaik taraf kemudahan awam seperti padang, dewan, pasar, gerai serta sistem pencahayaan perlu diteruskan untuk memberi manfaat kepada rakyat selain melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kompleks sukan dan kemudahan rekreasi secara berkala.
Sebelum itu pada majlis tersebut, empat ketua PBT di Melaka mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing di hadapan Sulaiman.
Upacara angkat sumpah itu didahului Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Zainal Abu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Mohd Fadhil Hassan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin Datin Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shadan Othman. - Bernama