SHAH ALAM - Cadangan berhubung pelaksanaan undang-undang anti lompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri memerlukan penelitian tambahan daripada masyarakat sivil.
Penyelidik Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari berkata, ia kerana cadangan tersebut mempunyai implikasi terhadap kesihatan dan kematangan demokrasi negara.
Menurutnya, ia juga merupakan langkah positif dalam tempoh jangka masa pendek memandangkan dinamika politik Malaysia yang sentiasa berubah-ubah.
"Walaupun kita dapat memahami keperluan untuk membendung amalan lompat parti, yang jelas menyebabkan ketidakstabilan dalam politik dan menjejaskan kepercayaan terhadap demokrasi, beberapa persoalan mesti diutarakan.
"Adakah undang-undang itu akan ditafsirkan sedemikian rupa yang akan membiarkan potensi terbuka penyalahgunaan oleh pemimpin parti yang mahu menghapuskan pesaing mereka dalam parti? Kedua, adakah implikasi anti lompat parti terhadap kebebasan berpersatuan seperti yang dikuatkuasakan oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan?
"Soalan-soalan ini mesti dijawab sebelum undang-undang berkuat kuasa dan yang paling penting, masyarakat sivil harus terlibat dan berunding dengannya untuk membincangkan perkara ini perkara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Aira berkata, kerajaan harus mempertimbangkan mekanisme pilihan raya semula (recall election) kerana tidak semua ahli politik yang bertukar parti melakukannya atas sebab yang salah.
Selain itu, beliau berkata, bagi cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, ia adalah langkah positif yang akan mengelakkan potensi berlaku penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana individu.
"Sekali lagi kami ingatkan kerajaan bahawa masyarakat sivil juga mesti disertakan dalam proses musyawarah untuk cadangan ini,” ujarnya.
Jelas Aira, cadangan tersebut adalah penting dengan spektrum masyarakat yang luas dijalankan secara konsisten dan telus.