Inflasi kekal menyederhana pada 2020: BNM

Iklan
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi kekal menyederhana pada 2022, lebih hampir kepada purata jangka panjangnya, manakala inflasi teras juga berkemungkinan kekal sederhana tahun ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat akan terus berhati-hati terhadap perkembangan berterusan dalam permintaan dan tekanan kos selain terus terlibat secara aktif dengan pemain industri untuk memantau dinamik harga dengan teliti apabila keadaan ekonomi bertambah baik.

Iklan
Iklan

"Kami menjangkakan perbelanjaan isi rumah terus menyokong pertumbuhan tahun ini. Pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan pemulihan pasaran pekerjaan serta keadaan pendapatan adalah faktor yang akan meningkatkan aktiviti penggunaan.

"Bagaimanapun, perkembangan berkisar pandemik - terutamanya jika penggunaan kapasiti penjagaan kesihatan mengalami tekanan - berserta tekanan terhadap harga akibat kekangan bekalan, ini mungkin boleh menjejaskan sentimen dan perbelanjaan sebenar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021, yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Iklan

Pada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan adalah 2.5 peratus berbanding -1.2 peratus pada 2020, manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7 peratus daripada 1.1 peratus pada 2020.

Nor Shamsiah turut mengetepikan kebimbangan Malaysia memasuki fasa hiperinflasi sambil menyatakan stagflasi ala-1974 tidak mungkin berlaku.

Iklan

"Sekiranya kita mengimbas kembali dalam tempoh 30 tahun lepas, kadar inflasi tertinggi yang kita pernah lihat ialah kira-kira 8.5 peratus pada Julai-Ogos 2008 apabila harga minyak meningkat dua kali ganda kepada hampir AS$150 setong daripada AS$74 setong tahun sebelumnya," katanya. - Bernama