SEREMBAN- Polis telah mengenal pasti lelaki yang dirakam dalam sebuah video tular yang didakwa secara tiba-tiba mengamuk dan memaki pengguna jalan raya di sebuah persimpangan lampu isyarat berdekatan Centrepoint Seremban di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berkenaan telah hadir di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada pagi Jumaat bagi membantu siasatan.
"Pihak polis mengesan lelaki itu selepas video berkenaan tular di media sosial Facebook sejak Khamis.
"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi 1 minit 31 saat yang memaparkan tindakan lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Alza telah menghentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Lelaki itu dilihat keluar dari kenderaannya dan bertindak memaki hamun beberapa pengguna jalan raya namun tidak mencederakan mana-mana individu mahupun kenderaan lain sebelum menaiki kereta dan meninggalkan kawasan tersebut.