Akta A1642 berkuat kuasa pada 11 Februari

Iklan
Wan Junaidi

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] dikuatkuasakan pada 11 Februari 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 itu diwartakan sebagai Akta Pindaan pada 25 Januari 2022.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan seksyen 1(2) Akta A1642, akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Akta ini merangkumi pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan serta merupakan komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Iklan

"RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi pindaan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 dengan sokongan dua per tiga majoriti (199 ahli) dan Dewan Negara dengan sokongan 49 ahli pada 23 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Junaidi memberitahu, akta tersebut amat signifikan dan merupakan khabar gembira yang ditunggu rakyat Sabah dan Sarawak.

Iklan

Ujar beliau, pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan itu adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Sementara itu, pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

"Melalui pindaan ini definisi ras asli di Sarawak tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan boleh ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melalui perundangan negeri ini sendiri,” jelasnya.